(TLDM) mengesahkan dua anggotanya yang meninggal dunia

0
372
views

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan dua anggotanya yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, berada dalam keadaan sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan itu.

Panglima Tentera Laut Tan Sri Kamarulzaman Badaruddin berkata TLDM sememangnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang setiap anggota yang dimasukkan ke pusat tahanan perlu menjalani ujian kesihatan terlebih dahulu.

“Kami mengesahkan bahawa dua anggota terbabit sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan, namun kami tidak mahu mengulas lanjut mengenainya kerana ia masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 51 Veteran Pasukan Khas Laut (Paskal) sempena sambutan Ulang Tahun Paskal ke-35 di Markas Paskal TLDM di sini hari ini.

Beliau berkata, “Lembaga Siasatan TLDM yang bersidang semalam tidak akan campur tangan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya membincangkan serta meneliti semula SOP”.

Lembaga ini akan meneliti sama ada SOP masih relevan dan komprehensif diguna pakai selain menyiasat sama ada anggota yang bertugas ketika kejadian mematuhi SOP atau sebaliknya.

Katanya, lembaga itu yang terdiri daripada lima anggota, diketuai kapten dan kesemua mereka mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Kamarulzaman berkata pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi atau melindungi anggota yang melakukan jenayah selain memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi membantu proses siasatan.

“Keadilan perlu ditegakkan dan saya akan pastikan anggota yang bersalah dikenakan tindakan undang-undang kerana ia menjejaskan imej, kebajikan dan integriti perkhidmatan,” katanya sambil menambah pusat tahanan itu tidak akan ditutup.

Tambah Kamarulzaman, pihaknya turut melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan TDLM akan membantu anggota keluarga daripada aspek kebajikan.

LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan berkenaan dipercayai didera berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Susulan itu, tiga anggota TLDM direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.-Bernama

Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa tiada pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah menyebabkan kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kelmarin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya sudah mengarahkan TLDM untuk memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.

“Saya telah arah @tldm_rasmi untuk beri sepenuh kerjasama kpd pihak @PDRMsia untuk lakukan siasatan. Tiada perkara akan disembunyikan. Itu janji saya.

“Saya konsisten bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang2 jika didapati bersalah. Buat masa ini, biar pihak @PDRMsia teruskan siasatan,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, @HishammuddinH2O, hari ini.

Pada masa sama, Hishammuddin turut menzahirkan rasa sedih dan terkilan di atas kematian dua anggota berkenaan serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Kelmarin, Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, dan Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28 meninggal dunia selepas diarah menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Komunikasi TLDM, Sungai Wangi, Sitiawan.

Malam tadi, bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mengesahkan dua anggota meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru berpunca daripada trauma tumpul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata berikutan itu polis menahan tiga anggota TLDM pada jam 9.30 malam tadi untuk membantu siasatan kes kematian itu.

Setakat ini, tiga suspek yang juga anggota TLDM direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

sumber : sinar harian dan berita harian

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here